KEPENTINGAN IBADAH PUASA
Oleh: Fadzila
Azni @ Sukainah At Thahirah Ahmad
Assalamu'alaikum wrh.
Ibadah puasa adalah
termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna puasa termasuk ibadah yang terpokok.
Yang menjadi perkara asas untuk membina peribadi Muslim. Apa yang ada pada
puasa hingga dipilih ALLAH untuk masuk senarai rukun Islam? Mula-mula orang
yang ingin pada Islam disuruh buat pengakuan dan kesaksian keyakinannya pada
ALLAH dan Rasul: "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan
Muhammad itu pesuruh ALLAH."
Pengakuan ini kemudian
disuruh buktikan melalui sembahyang. Berbagai ikrar, janji dan harapan kita
bisikkan kepada ALLAH sewaktu sembahyang demi membuktikan kita taat tunduk
(rukuk dan sujud) kepada-Nya. Menyatakan kerelaan fizikal dan mental kita
menyerah diri kepada ALLAH. Menajamkan rasa
kehambaan di dalam hati
dan menyuburkan rasa berTuhan di dalam jiwa.
Ibadah puasa jatuh
nombor ketiga iaitu selepas ibadah sembahyang. Maksudnya, selepas membuat
pengakuan taat setia, maka kita diuji dengan suatu perintah aneh iaitu puasa.
Kita tidak dibenarkan makan disiang hari selama sebulan sekalipun lapar dan
makanan ada dihadapan mata. Ertinya ALLAH mahu mendidik kita untuk
susah, berletih lesu,
menahan keinginan pada sesuatu sekalipun ia ada di hadapan mata. Bukankah itu
aneh? Orang yang jahil dan kurang faham akan menganggap ia
sebagai suatu penyiksaan
dan bebanan lantaran itu berlalunya Ramadhan disambut dengan riang. Apa
sebenarnya yang ALLAH kehendaki dari puasa?
Menahan keinginan
terhadap sesuatu yang kita ingini adalah sesuatu yang perlu dan penting.
Istilah kecewa atau frust lahir dari seseorang yang tidak dapat
menahan hati dari
keinginan yang tidak tercapai. Dan kecewa adalah penyakit lumrah dalam
masyarakat kini. Terkadang penyakit kecewa boleh membawa manusia kepada
pelbagai lagi penyakit-penyakit jiwa yang lain.
Dan ini akan terus
berlaku sebab kehidupan manusia selalunya terlalu banyak keinginan-keinginan
yang tidak tercapai. Walau betapa bijak, kaya dan berkuasa
seseorang itu, dia tentu
tidak dapat menolak taqdir ALLAH. ALLAH sudah tentukan bahawa tiap manusia itu
akan diuji.
Tidak tahu sabar adalah
suatu kekurangan yang merbahaya. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan yang
meminta agar kita dapat berlaku sabar. Di dalam
menunaikan
perintah-perintah ALLAH, di dalam menghadapi musibah dan kesabaran yang paling
utama adalah bersabar di dalam meninggalkan
larangan-larangan ALLAH
lahir dan bathin.
Imam Bukhari ketika bermunajat dengan ALLAH berbisik-bisik:- "Bukan aku
tidak sabar dengan ujian-Mu ya ALLAH, cuma hendak mengadu pada Mu, tempat aku
kembali nanti. Memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah."
Begitulah seharusnya
hati orang Mukmin tatkala berhadapan dengan persoalan hidup. Mereka tunduk dan
patuh kepada kehendak ALLAH kerana merasakan
segala-gala yang berlaku
adalah dengan keizinan dan kemahuan ALLAH. Malah mereka memuji-muji ALLAH
kerana Maha Bijaksana dan Maha Adil-Nya melakukan kejadian itu. Kalau ujian
berupa nikmat, mereka bersyukur bersama airmata kesyukuran dan kalau berupa
kesusahan, mereka bersabar dan redha bersama airmata kesabaran.
UNTUK TUJUAN INILAH
PUASA ITU DIPERINTAHKAN. ALLAH TENTUKAN KEHIDUPAN DI DUNIA ADALAH PERGILIRAN
NIKMAT
DAN UJIAN. DAN
KEBAHAGIAAN SEBENAR IALAH PADA MEREKA YANG BOLEH BERSYUKUR DAN BERSABAR. SEBAB
ITU ALLAH
MAHU DIDIK MANUSIA KE
ARAH ITU.
Bila kita berpuasa
bererti kita mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana ALLAH, bukan
kerana lain-lain. Dan kalau ini dilatih, dibiasakan selama
sebulan, ertinya kita membuat
latihan jiwa untuk bersabar, untuk patuh menanggung kesusahan kerana
ALLAH.
Jiwa yang apabila
berhadapan dengan kejadian yang malang, kecewa, hampa, susah dan kegagalan akan
tunduk dan sabar dengan ALLAH, kerana ALLAH. Kita boleh berikhtiar untuk elakkan
kemalangan itu tapi bukan dengan hati yang panas, marah-marah dan memberontak.
Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa kehambaan di
dalam hati kerana merasakan lemahnya dia untuk menolak taqdir dan kuasa ALLAH.
Inilah jiwa yang tenang.
Seseorang yang merasakan
puasanya selama ini tidak membuatkan jiwanya mahu bersabar dengan keinginan
yang tidak tercapai, kesusahan dan kegagalan, samalah dengan orang yang tidak
berpuasa. Maka kalau puasa tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan ALLAH dan
sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda Rasulullah; "Tidaklah
diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga."
Kita berlindung dengan ALLAH daripada kerugian demikian.
Wassalam.
0 komentar:
Posting Komentar